18 April 2015

T.RAZALIEIGH BAKAL GANTI NAJIB??

Dr Mahathir bukan pemusnah, jumpa musuh untuk kebaikan, kata Ibrahim Ali



Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bukan ahli politik pemusnah, kata Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali. – Gambar fail The Malaysian Insider, 18 April, 2015.

Datuk Ibrahim Ali berkata tiada salahnya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan perjumpaan dengan seteru politik Umno jika ia membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.

Presiden Perkasa itu berkata masyarakat tidak seharusnya memberi andaian negatif terhadap Dr Mahathir yang berjumpa dengan pihak berbeza fahaman politik, kerana ia pastinya akan membawa kebaikan.

“Dr Mahathir seorang tokoh yang (kalau) buat apa-apa, mesti ke arah positif, sebab Dr Mahathir bukan ahli politik pemusnah. Dia bukan tokoh politik yang menghancurkan sesuatu.

“Dr Mahathir boleh dipercayai berjumpa sesiapa saja. Dr Mahathir kalau berjumpa, dia selalu mencari kebaikan dan bukan negatif.

“Kalau dia jumpa dengan musuh dia pun, mungkin akan lahir sesuatu yang baik,” katanya kepada The Malaysian Insider semalam, mengulas pendedahan Datuk Zaid Ibrahim mengenai pertemuan antara Dr Mahathir dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali di London pada bulan lalu.

Susulan pertemuan dengan menteri besar Selangor itu, Zaid menulis di blognya semalam, mencadangkan Dr Mahathir bekerjasama dengan seterunya bagi menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.


Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata usaha berkenaan dapat diperkukuhkan dengan gandingan Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

“Pemerintahan mereka bertiga akan memastikan kerajaan Najib dapat dilupuskan dengan pantas.

“Kini mereka berpeluang menjayakannya. Mungkin dengan Tengku Razaleigh sebagai perdana menteri sementara untuk 3 tahun, sementara menunggu pilihan raya umum akan datang.

“Kemudian, Anwar boleh mengambil alih dengan rancangannya untuk negara ini,” katanya menerusi blog zaid.my.

The Malaysian Insider difahamkan, semalam berlangsung pertemuan selama sejam di antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh, namun butirannya tidak dapat diketahui.

Ibrahim berkata, tidak kira apa jua pendekatan yang diambil Dr Mahathir, sejarah membuktikan perdana menteri paling lama berkhidmat itu tetap akan kembali kepada Umno.

Katanya, ia dapat dibuktikan dengan peristiwa Dr Mahathir dipecat daripada Umno pada 1969 dan pengumumannya keluar parti Melayu itu pada 2008.

“Dr Mahathir berkelahi dengan siapa pun, dia masuk, keluar Umno, kemudian masuk balik. Dr Mahathir tak pergi ke mana selain Umno.

“Masa Tunku Abdul Rahman pecat dia pada 1969, dia bersyarah atas pentas PAS, tetapi dia tak masuk PAS. Dia tetap tolak PAS sebagai parti politik.

“Macam zaman Pak Lah dulu, dia keluar Umno, lepas tu dia masuk balik. Tapi dia tak tinggal Umno,” katanya merujuk kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, tidak kira siapa pun yang ditemui Dr Mahathir, beliau pasti akan mempunyai perhitungannya sendiri.

Katanya, anggapan pihak tertentu yang mendakwa Dr Mahathir akan membuat pakatan tertentu tidak benar dan ia tidak mencerminkan sikap bekas perdana menteri itu.

“Dia boleh jumpa siapa saja. Dia akan dengar siapa saja bercakap, lepas itu dia akan buat perhitungan dia.

“Kalau nak buat kesimpulan, beliau buat pakatan itu, pakatan ini, itu tidak betul. Itu bukan Dr Mahathir.

“Kalau dia jumpa Azmin atau PAS tetapi perjumpaan itu membawa kebaikan, apa masalahnya kalau akhirnya di hujung nanti untuk kebaikan negara,” katanya. – 18 April, 2015.

- See more at: SUMBER

17 April 2015

TERHANGAT! UMNO KEDAH TARIK BALIK SOKONGAN KEPADA NAJIB?


Hinanya Najib Di Mata UMNO Kedah dan Hipokrasi Pimpinan Sayap

Betapa hinanya Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak apabila Tiga Sayap UMNO Kedah membuat desakan supaya Perhubungan UMNO Negeri Kedah tidak membuat sebarang kenyataan menyokong kepimpinan beliau pada minggu hadapan seperti yang diumumkan sebelum ini.

Ketia-tiga ketua sayap ini, Ketua Pemuda UMNO Kedah Dato Shaiful Hazizy, Ketua Wanita, Datuk Maznah Hamid dan Datin Noorhashimah, Ketua Puteri UMNO Kedah baru beberapa hari lalu bersama Pergerakan Pemuda UMNO, Wanita dan Puteri membawa usul menyokong kepimpinan Perdana Menteri.

Hari ini, selepas berjumpa dengan Mneteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mereka mendesak supaya UMNO Kedah tidak mengeluarkan sebarang kenyataan menyokong kepimpinan Mohd Najib.

Sebelum ini ADUN Bukit Lada (Kedah) Datuk Ahmad Lebai Sudin mendesak Mukhriz melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah jika beliau tidak lagi menyokong kepimpinan Mohd Najib.

Desakan ini berikutan keengganan Mukhriz mengeluarkan kenyataan segera menyokong Najib setelah Tun Mahathir mengisytiharkan beliau menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri.

Kita faham penghormatan dan kasih sayang semua pihak kepada Tun Mahathir. Menyokong Mohd Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO bukan bermakna kita menghina Tun M. Ia sekadar berbeza pendapat dalam menyokong siapa dalam parti.

Mereka juga boleh berbeza pendapat dengan Presiden parti dalam isu, namun mendesak Pengerusi Perhubungan Negeri tidak mengeluarkan sebarang kenyataan menyokong Presiden merupakan isyarat jelas bahawa mereka menolak kepimpinan Najib
.

Ketiga-tiga mereka merupakan jawatan lantikan Ketua-ketua sayap. Terserah kepada Khairy Jamaluddin, Shahrizat Abdul Jalil dan Mas Eirmayatie.

Memang benar Mukhriz berada dalam serba salah dan memerlukan masa untuk menyelesaikan kekusutan krisis antara bapanya, Tun Mahathir dan Perdana Menteri Najib Razak. Namun untuk ketiga-tiga sayap muncul membuat desakan ini sama ada diarahkan oleh Mukhriz atau tidak merupakan satu keputusan untuk menentang kepimpinan Pusat.

Inilah balasan UMNO Kedah kepada Najib Razak setelah pelbagai permintaan semasa pilihan raya dan selepas pilihan raya dipenuhi oleh Najib.

Apa yang UMNO Kedah minta tidak diberi oleh Mohd Najib?

Malah permintaan untuk membina lapangan terbang ketiga telah dipersetujui oleh Mohd Najib walaupun banyak pihak mempertikaikan keperluannya.

Mohd Najib bukan sahaja memenuhi banyak permintaan Kedah, malah ia juga memenuhi permintaan Tun Mahathir agar mengumumkan Mukhriz sebagai calon Menteri Besar yang baharu sebelum pilihan raya lagi.

Memang ada faktor tarikan dalam pengumuman Mukhriz sebagai bakal Menteri Besar.

Namun faktor Mukhriz semata tanpa sokongan dan dokongan UMNO kedah yang digerakkan oleh Datuk Ahmad Bashah dan bantuan kewangan yang besar dari Pusat, mustahil hari ini beliau menjadi Menteri Besar Kedah.

Selepas dua tahun setengah menjadi Menteri Besar, rakyat belum merasai apa-apa yang jelas kecuali kelibat Menteri Besar Kedah memakai jubah turun ke surau-surau dan kampung-kampung. Mukhriz memang mudah didampingi, tapi soal pentadbiran isu yang lain boleh dibahaskan.

Anehnya Menteri Besar dan pimpinan UMNO Kedah lebih berminat untuk menghakimi pencapaian kepimpinan pusat tanpa melihat pentadbiran sendiri.

Jangan nanti orang kata kita “berkokok sekampung tapi ekor penuh tahi.” ~Sumber




 Tiga sayap UMNO Kedah zahirkan sokongan

 Oleh Adha Ghazali adha@bh.com.my ALOR SETAR: 

Tiga sayap pergerakan UMNO Kedah membabitkan Pemuda, Wanita dan Puteri menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir. Sokongan secara solidariti itu disampaikan sebagai tanda membuktikan UMNO Kedah masih kekal utuh bersatu di bawah kepimpinan kedua-dua pemimpin, Mukhriz selaku Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, serta Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

 Lebih 30 pemimpin ketiga-tiga sayap parti hadir mewakili akar umbi masing-masing untuk menyuarakan sokongan itu dalam satu sidang media khas di Pejabat UMNO negeri, di sini, susulan pertemuan yang diadakan bersama Mukhriz sebelum itu. 

Yang turut hadir ialah Ketua Pemuda UMNO negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainal Abidin; Ketua Wanita UMNO Kedah, Datuk Maznah Abd Hamid dan Ketua Puteri UMNO Kedah, Datin Norhashimah Md Nowar. 

Shaiful Hazizy ketika sidang media berkenaan, berkata ketiga-tiga sayap parti sepakat memohon Menteri Besar supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan pada 24 April ini, walaupun sudah berjanji untuk berbuat demikian sebelum ini. "Kita sudah nyatakan pendirian ketiga-tiga sayap kepada Menteri Besar, ..alasan diberikan ialah kita tidak mahu Menteri Besar berada dalam keadaan yang sukar dalam isu antara Perdana Menteri dan Tun Dr Mahathir Mohamad, berikutan status hubungan Mukhriz dan mantan Perdana Menteri itu. 

"Kita mahu Menteri Besar beri sepenuh tumpuan kepada usaha membangunkan negeri dan parti. Selain itu kita khuatir kenyataan dibuat Menteri Besar nanti berisiko untuk diputar belit pihak tidak bertanggungjawab," katanya. Ditanya mengenai kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin, yang mendesak Menteri Besar meletakkan jawatan, beliau berkata ketiga-tiga sayap pergerakan percaya ia bersifat peribadi dan tidak mewakili parti secara keseluruhan.

 Malah, beliau tidak menafikan tindakan itu sebagai reaksi golongan sudah senja politik, yang berhasrat mencari sokongan baharu. "Tak timbul isu UMNO Kedah tak stabil dan berpecah, ..kita masih terus teguh dan bersatu padu, ..kenyataan ADUN Bukit Lada tidak membuktikan apa-apa," katanya. SHAIFUL Hazizy (duduk, dua dari kanan) pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Mukhriz di Ibu Pejabat Umno Kedah di sini hari ini. - Foto BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/47977

MENTERI BN AKUI HUTANG 1MDB DITAHAP PARAH

Menteri akui hutang 1MDB membebankan, Putrajaya henti segala pinjaman baharu


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar bercakap di program 'Perkembangan Ekonomi Semasa'anjuran Akademi Kepimpinan Kapten Hussein di Kelana Jaya, semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim,17 April, 2015.

Datuk Seri Abdul Wahid Omar mengakui dana pelaburan strategik negara milik Kementerian Kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membebankan kerana kegagalannya menjana tunai berbanding hutang besar syarikat tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata 1MDB membuat pinjaman bank dan pasaran modal dalam membeli aset tetapi gagal menjana aliran tunai yang menyebabkan ia tidak mampan.

"Selama ini mereka berkembang dengan membuat pinjaman daripada bank atau pasaran modal, mereka membeli banyak aset termasuk IPP (syarikat jana kuasa bebas) sehingga meningkat hutang RM42 bilion setakat Mac 2014.

"Jadi anda boleh bayangkan bebanan hutang yang tinggi, ia sebenarnya sangat tinggi dan ini sukar," katanya pada forum anjuran Akademi Kapten Hussein di Petaling Jaya, Selangor malam tadi.

Jumlah hutang terkumpul 1MDB sebelum ini dilaporkan RM42 bilion.

Menjawab soalan orang ramai, Wahid berkata selagi aset yang dibeli itu tidak dapat menghasilkan aliran tunai, maka selagi itu 1MDB tidak akan mampan.

"Melainkan aset itu dapat menjana aliran tunai, ia tidak akan mampan," katanya.

Wahid berkata, bebanan hutang itu disedari memberi impak kepada 1MDB dan 3 langkah strategik sudah diambil bagi mengatasi masalah dihadapi.

"Mereka sudah ambil langkah strategik mengkaji semula model perniagaan dan struktur modal, 3 keputusan sudah dibuat," katanya.

Beliau berkata, 3 langkah itu termasuk menghentikan semua bentuk pinjaman baru, fokus kepada 2 projek utama mereka iaitu Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia serta memastikan rancangan tawaran awam (IPO), syarikat IPP miliknya, Edra Energy dapat dilaksanakan secepat mungkin.

"Jadi ini kajian strategik yang sudah dikenal pasti," katanya.

1MDB, dimiliki sepenuhnya Kementerian Kewangan, mencatatkan kerugian selepas cukai RM665.4 juta daripada hasil RM4.26 bilion bagi tahun kewangan berakhir Mac 2014.

Kerugian mungkin lebih parah kalau bukan kerana keuntungan menerusi penilaian aset hartanah berjumlah RM896.8 juta.

Laporan tahunan 2014 syarikat itu meletakkan pinjaman jangka panjang dana negara itu naik sehingga RM33.5 bilion, iaitu kenaikan RM7.2 billion atau 27% daripada RM26.3 bilion pada 2013.

Hutang jangka pendek 1MDB berjumlah RM8.3 bilion.

Pada hujung Mac tahun lalu, baki tunai dan baki bank 1MDB berjumlah RM3.8 bilion, turun 42% daripada RM6.7 bilion pada tahun kewangan 2013.

Penurunan ini berpunca daripada bayaran faedah yang tinggi serta pinjaman yang masih ada.

Bagi tahun berakhir Mac 2014, 1MDB membelanjakan RM2.4 bilion untuk kos kewangan.

Pemimpin politik, termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menuntut siasatan dibuat ke atas kewangan 1MDB dan juga menggesa kerajaan menjelaskan urus niaga yang mereka dakwa menyebabkan dana awam disalurkan keluar.

Susulan tekanan tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan ketua audit negara menjalankan audit bebas ke atas akaun 1MDB.

Pelbagai dakwaan dan kritikan menyelubungi 1MDB, malah pemimpin Umno baru-baru ini juga melancarkan serangan ke atas ahli perniagaan Low Taek Jho yang dikenali sebagai Jho Low kerana dikatakan di antara pemain penting di belakang syarikat tersebut. ~SUMBER



Tinjauan: Najib paling dipersalah dalam isu 1MDB


Kebanyakan orang tidak tahu untuk menyalahkan pihak mana dalam isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bagaimanapun, kebanyakan mereka paling banyak menuding jari kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.


Tinjauan pusat penyelidikan bebas Merdeka Center bersama stesen radio BFM mendapati 52 peratus responden tidak pasti siapa harus dipersalah.

Dalam masa yang sama, enam peratus lagi berkata “tidak tahu”.

Dalam wawancara disiarkan BFM pagi tadi, Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata 18 peratus menyalahkan Najib dan 16 peratus lagi kerajaan pusat.

Lima peratus mempertanggungjawabkan perkara itu kepada pengurusan 1MDB manakala tiga peratus melihat masalah berpunca daripada institusi lain.

Seramai 1,011 pengundi di semenanjung Malaysia terlibat dalam tinjauan antar 12 hingga 27 Mac itu.

Berdasarkan pecahan kaum, sebanyak 60 peratus Melayu terlibat, 31 peratus Cina dan 9 peratus India.

Tinjauan juga mendapati sebanyak 49 peratus responden berkata tidak yakin sama sekali atau agak kurang yakin dengan cara pengendalian kerajaan terhadap syarikat pelaburan negara itu. ~Laporan Malaysiakini

400,000 PENJAWAT AWAM TERIMA GAJI DIBAWAH GAJI MINIMUM RM900 INI PENDEDAHAN YANG MEMALUKAN

400,000 penjawat awam masih terima gaji serendah RM805 sebulan



Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata kebanyakan mereka adalah pembantu am dan pemandu dengan kelayakan PMR.

Terdapat 400,000 penjawat awam di negara ini masih menerima gaji serendah RM805 sebulan, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda.

Beliau berkata, mereka yang menerima gaji sedemikian kebanyakannya adalah pembantu am dan pemandu yang masuk ke perkhidmatan awam menggunakan kelayakan
Penilaian Menengah Rendah (PMR).

"Yang menerima gaji minimum itu ialah golongan pelaksana dan mereka adalah rakyat serta aset kepada kerajaan dan negara. Jika aset ini tidak dijaga, kita bimbang mereka terkesan dan tidak dapat menumpukan sepenuhnya jiwa dan raga untuk meningkatkan produktiviti.

Selain itu, mereka juga tidak akan dapat memberikan pendidikan yang baik kepada anak-anak disebabkan kewangan yang tidak mencukupi, di samping tidak mampu menanggung kos kesihatan yang kini meningkat 120%,” katanya.

Azih berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Forum Ekonomi Penjawat Awam 2015 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tuntutan Cuepacs yang mahukan kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam sebanyak 35% bagi menjadikan RM1,200 sebulan sebagai gaji minimum
.

Azih berkata pihaknya berharap kerajaan dapat memberi pertimbangan sewajarnya kepada permintaan tersebut memandangkan kos sara hidup kini meningkat di kawasan bandar-bandar utama.

"Kita faham kedudukan kewangan kerajaan berubah mengikut pertambahan bilangan rakyat. Tetapi evolusi yang berlaku menyebabkan kos sara hidup meningkat di bandar-bandar utama.

"Di Johor contohnya, penjawat awam sudah hampir tidak boleh hendak menyesuaikan kehidupan," jelasnya.

Selain meningkatkan gaji, kongres itu juga meminta kerajaan agar menyemak semula kadar pengecualian cukai pendapatan penjawat awam sehingga 100% sebagai mengurangkan bebanan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung masa kini. – Bernama

16 April 2015

1MDB : PEMUDA UMNO TIDAK YAKIN DENGAN NAJIB

Selain pembangkang, UMNO juga dikatakan tidak yakin dengan penjelasan Najib berhubung isu 1MDB.


PETALING JAYA: Kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin tersepit selepas penerangan yang diberikannya berkaitan pembabitan Low Taek Jho atau Jho Low dalam 1MDB dikatakan gagal menyakinkan ahli dan pemimpin UMNO.

Situasi itu dilihat menambah beban yang terpaksa ditanggung beliau yang turut berdepan dengan tekanan yang sama dari pembangkang.

Percubaannya memberikan sesi penerangan dengan pelbagai cara sama ada menerusi media sosial atau pertemuan bersemuka, dikatakan tidak membuahkan hasil.

Blogger dan bekas Ketua Bahagian UMNO Setiawangsa, Shahbudin Husin, berkata Najib tidak mempunyai pilihan lain, selain membawa Jho Low pulang untuk disiasat dan memberi penerangan sebenar, ke mana perginya berbilion-bilion wang 1MDB.

“Pihak pembangkang dan UMNO seakan “senada dan seirama” mahukan Jho Low disiasat, ia seolah-olah semakin ramai mulai sedar bahawa kritikan dan teguran Tun Dr Mahathir Mohamad selama ini ada benarnya,” katanya.

Menurut Shahbudin, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin sendiri nampak tidak yakin dengan penerangan Perdana Menteri apabila beliau menggesa audit 1MDB dipercepat selain meminta Jho Low disiasat.

Walaupun Najib dijulang bagai menatang minyak yang penuh semasa pertemuan dengan Pemuda UMNO, sebenarnya tidak mengambarkan bahawa ia yakin dengan penerangan yang dibuat Najib.

“Apakah beliau (Khairy) tidak puas hati dengan penjelasan Najib dalam pertemuan itu atau tidak percaya dengan pengakuan Perdana Menteri sebelum ini bahawa Jho Low tiada sebarang kaitan dengan urus niaga 1MDB?,” soalnya.

Dalam tulisannya di www.shahbudindotcom.blogspot.com dia meminta Najib bukan saja perlu berani, menyelesaikan isu 1MDB, tetapi beliau perlu melakukan perkara yang sama melibatkan kes pembunuhan Altantuya Shaariibu dengan mengarahkan Polis membuka semula kertas siasatan.

“Jika ini dapat dilakukan, bukan saja orangramai memuji tindakannya, bahkan mungkin mampu memberi kepuasan kepada Tun Mahathir akhirnya, serta menjawab teka-teki orangramai selama ini,’ komennya. ~SUMBER

BERITA MENARIK , MULAI HARI INI TIADA JUAL ARAK DI 7-ELEVEN

Mulai Hari Ini 7-Eleven Tak Jual minuman beralkohol

Petugas memeriksa kadar alkohol minuman saat menggelar razia minuman beralkohol di sebuah minimarket di Kota Madiun, Jatim, Jumat (30/1).

Petugas menyemak kadar alkohol minuman saat menggelar razia minuman beralkohol di sebuah minimarket di Kota Madiun, Jatim.

Jakarta - Menaati dasar yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan, mulai hari ini minimarket berasaskan kafeteria, 7-Eleven (sevel) tidak lagi menjual minuman beralkohol kepada para pelanggannya.

Corporate Communication 7-Eleven, Neneng Sri Mulyati, berkata pihaknya telah melakukan koordinasi dengan pengurusan seluruh gerai sevel di Indonesia untuk tidak lagi menjual minuman beralkohol.

"Sudah dilaksanakan. Per hari ini, sudah enggak ada di kedai kami," kata Neneng kepada BeritaSatu.com, Kamis (16/4).

Dasar tidak lagi menjual minuman beralkohol di seluruh gerai sevel merupakan salah satu bentuk ketaataan sebagai warga negara terhadap peraturan yang telah ditetapkan kerajaan pusat.

Berdasarkan data dari laman web rasmi sevel, www.7elevenid.com, di Jakarta ada total 172 gerai. Paling banyak ada di Jakarta Selatan yakni 64 gerai.

Kemudian, di Jakarta Pusat berdiri 36 gerai sevel, Jakarta Barat 27 gerai, dan Jakarta Timur ada 24 gerai. Sementara paling sedikit di Jakarta Utara sebanyak 21 gerai.

Berdasarkan pantau BeritaSatu di lapangan, minuman beralkohol sudah tidak boleh didapatkan lagi di sevel.

Saat berkunjung ke sevel di Jalan Setiabudi Raya, Jakarta Selatan, minuman beralkohol sudah tidak kelihatan lagi di dalam peti sejuk. Kawasan yang biasa untuk minuman beralkohol kini diganti dengan minuman sejenis soda.

Kemudian ketika ditanya kepada salah satu pekerja di sevel apakah minuman beralkohol dijual, dia berkata di minimarket tempatnya bekerja sudah tidak lagi menjual minuman beralkohol sejak minggu lalu.

Langkah itu, katanya, untuk persiapan pelaksanaan dasar Kementerian Perdagangan.

Hal yang sama juga dilakukan, sevel Getah di Jalan KH Mas Mansyur, Jakarta Pusat. Pihak pengurusan mengatakan menyokong dasar kerajaan pusat, dan atas arahan pihak pengurusan pusat sevel tidak boleh lagi menjual minol diseluruh gerai sevel.

Seperti diketahui, mulai hari ini, Kamis (16/4) Kementerian Perdagangan telah rasmi melarang penjualan minuman beralkohol atau bir di minimarket melalui Permendag No.6 / M-DAG / PER / 1/2015.

Minuman beralkohol nantinya hanya akan dijual di pasar raya dan pasar raya besar dengan persayaratan khusus.

Lenny Tristia Tambun / FEB  ~ Sumber

Pautan kekal imej terbenam

BETUI KE NI SOKONGAN UNTUK TUN M SAMPAI 17.2 JUTA LIKE? ATAU DEPA SUKA SITI JE.......


Mahathir tak keseorangan, Siti Nurhaliza ada



Jarang menyentuh soal politik, penyanyi nombor satu negara Siti Nurhaliza tampil mengejutkan dengan menyatakan sokongan terbuka pada Tun Dr Mahathir Mohamad yang “keseorangan” mengkritik pentadbiran perdana menteri.

Bagi penyanyi kelahiran Lipis, Pahang itu, perdana menteri 22 tahun itu menyentuh hatinya kerana mengharungi pelbagai cabaran membangunkan Malaysia sehingga terkenal di mata dunia.

“Love you Tun (Mahathir) dan sentiasa bersama Tun....

“Sejarah kepimpinan Tun mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan membangunkan Malaysia hingga terkenal di mata Dunia patut kita hargai serta contohi.

“Tiada yang muda Kalau tidak kerana orang tua,” tulis Siti Nuhaliza di akaun perkongsian gambar Instagram beliau yang mempunyai pengikut besar 1.4 juta orang.

Penyanyi lagu berentak irama Malaysia itu juga menggunakanhashtag #sayaanakMalaysia dan #sebak bagi menggambarkan perasaannya itu.

Beliau memuatkan grafik menunjukkan Mahathir sedang merenung ke arah sesuatu dengan berlatar belakang 1Malaysia Developement Bhd (1MDB).

Dimuatkan juga kapsyen “Saya sedar saya keseorangan”.

Belasan juta 'like'

Syarikat pelaburan negara itu antara perkara utama dibangkitkan Mahathir ketika merancakkan asakannya kepada pentabiran Datuk Seri Najib Razak, selain isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Status itu mendapat sokongan meluas peminatnya.


Setakat berita ini ditulis, seramai 17.2 juta orang menekan butang like dan hampir 700 komen dinyatakan.

“Saya sokong Dato' Siti. Tiada yang baru tanpa yang tua. Tun bercakap ada sebabnya.... Fikir fikirkanlah,” komen seorang peminatnya dikenali “shahrazak”.

Bagaimanapun, terdapat pengguna lain membangkitkan keraguan terhadap sokongan terhadap Mahathir daripada pihak yang didakwa pernah “mengata dan menghina” veteran politik itu.

“Saya pun sayang Tun idola... tapi ada yang mereka sebelum mengata dan menghina Tun macam-macam... tapi tiba-tiba sokong Tun.... ada udang sebalik mi?” soal “slizamiza”, tanpa menghuraikan lanjut.

Kebanyakan pengguna media sosial itu berkongsi pandangan sama dengan Siti, atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin.

Sehari sebelum status itu, Mahahir mengeluh dalam blognya bahawa beliau keseorangan ketika membangkitkan kritikan terhadap kepimpinan Najib.

Lagu 'Lelaki'

Bagi mewajarkan kritikannya itu, Mahathir berkata soalan berkaitan 1MDB masih tidak berjawab dan ramai pihak masih bertanya kepadanya berkaitan kes Alttantuya.

“Saya sedar saya keseorangan. Tetapi jika saya juga berasa bertanggungjawab kepada rakyat salahkah.

“Apabila duit rakyat hilang dan ini tersembunyi dari rakyat salahkah kalau saya tanya,” soalnya dalam tulisan blog terbaru berjudul “Soal tak jawab”.

Siti Nurhaliza, 36, sebelum ini pernah tampil dengan lagu mengisahkan perjuangan hebat “seorang lelaki”.

Karya berjudul “Lelaki” itu dispekulasi ditujukan kepada beberapa tokoh negara, termasuk Mahathir.

Sejak tampil kali pertama dalam bidang seni suara pada 1995, penyanyi serba boleh itu telah menghasilkan 16 buah album dan menggondol lebih 200 anugerah dalam bidang muzik.

Isteri kepada ahli perniagaan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K itu juga mengasaskan produk kecantikan berjenama SimplySiti.

Laporan Malaysiakini

15 April 2015

NAJIB SEMAKIN TERGUGAT DAKWA BEKAS MENTERI DARI UMNO



Najib makin tergugat bila Jho Low bersuara, kata Zam



Bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, tindakan Jho Low itu membangkitkan kemarahan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin serta beberapa kepimpinan lain Umno yang sebelum ini mengikrarkan taat setia kepada Najib. – Gambar fail The Malaysian Insider

Kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dilihat menerima sokongan dan stabil kini mulai tergugat apabila ahli perniagaan, Low Taek Jho, atau dikenali sebagai Jho Low bersuara, kata bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin.

Lebih dikenali dengan panggilan Zam, bekas wartawan itu berkata, perkara itu berlaku apabila Jho Low menuduh Umno menjadi dalang dalam skandal syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Gambaran Najib berada dalam keadaan stabil dan kuat dengan sokongan dalam parti dan luar parti, tergugat dan meruncing semula apabila ahli perniagaan terkemuka Jho Low menuduh Umno menjadi dalang yang memutar belitkan isu 1MDB yang menyebabkannya dianggap sebagai punca skandal.


"Jho Low menuduh ini dilakukan oleh ahli-ahli putar belit Umno," katanya di dalam blognya zamkata.blogspot.com semalam.

Dalam artikel bertajuk, "Kedudukan Najib meruncing semula dan semakin tertekan", Zam berkata, tindakan Jho Low itu membangkitkan kemarahan Ketua Pemuda Umno, yang juga Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta beberapa kepimpinan lain Umno yang sebelum ini mengikrarkan taat setia kepada Najib.

"Mereka mahu Jho Low disiasat," kata Zam.

"Dengan Najib dan keluarganya diketahui sebagai besahabat baik dengan tokoh perniagaan besar ini yang juga dikenali sebagai kaki berpoya-poya, maka pertanyaan Dr Mahathir siapakah orang ini yang menjadi penasihat kepada 1MDB menambah krebiliti keyakinan dan sokongan kepada Dr Mahathir yang mendakwa berjuang seorangan," katanya. 


"Malah lebih buruk lagi hari ini (semalam) bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menyokong tuntutan Dr Mahathir supaya siasatan terhadap kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dibuka semula."

Zam berkata, perkara itu jelas menunjukkan tekanan semakin hebat mulai dirasakan Najib disamping sokongan yang ditunjukkan banyak pihak kepadanya.

Dr Mahathir juga pada Isnin mengakui dirinya bersendirian dalam mengkritik pentadbiran Najib.

"Saya sedar saya keseorangan. Tetapi jika saya juga berasa bertanggungjawab kepada rakyat salahkah? Apabila duit rakyat hilang dan ini tersembunyi dari rakyat salahkah kalau saya tanya?

“Hakikatnya wang 1MDB ada di mana masih tidak dijawab, kata Najib wang itu tidak ada di Cayman Islands. Tetapi dulu mengaku ada di Cayman Islands dan sudah dibawa balik,” katanya menerusi blognya, chedet.cc.

Dr Mahathir dilihat berterusan mengkritik pentadbiran Najib serta mempersoalkan tadbir urus kerajaan termasuk menyentuh isu membabitkan syarikat milik Kementerian Kewangan yang dibebani hutang itu, 1MDB, serta isu pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibu.

Susulan kritikannya, pemimpin Umno dari semua peringkat menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Najib termasuk parti komponen Barisan Nasional (BN) dan bekas penjawat awam kanan kerajaan.

Anak kepada Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, turut tidak terlepas daripada tekanan dan digesa menyuarakan pendiriannya terhadap kepimpinan dan pentadbiran Najib.

Ketika bapanya semakin rancak mengkritik perdana menteri itu, Mukhriz berkata, Umno Kedah akan membuat keputusan sama ada menyokong Najib atau tidak pada satu mesyuarat 24 April ini.

Dikritik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin, yang menggesa beliau meletak jawatan sebagai menteri besar Kedah, Mukhriz menyifatkan wakil rakyat itu terlalu ghairah dalam mengeluarkan kenyataan.

"Kami bersetuju sesama kami, jangan ada apa-apa kenyataan (sebelum 24 April). Kami hendak satu kenyataan bersifat konsensus dalam kalangan semua anggota Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah.

"Nampaknya Ahmad agak ghairah sangat, dia keluarkan kenyataan sebelum kami keluarkan kenyataan rasmi," kata Mukhriz mengulas tindakan Ahmad memintanya meletak jawatan sekiranya gagal menyokong kepimpinan Najib.~Laporan TMI

‘Spin master’ Umno di sebalik serangan 1MDB, kata Jho Low


OLEH ERIC ELLIS, EUROMONEY


Ahli perniagaan kontroversi, Jho Low akhir-akhir ini bercakap dengan pelbagai media antarabangsa mempertahankan dirinya terhadap tuduhan dibuat media lain, termasuk The Edge, mengenai penglibatan beliau dalam urusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).‎ Minggu ini kami keluarkan semula artikel berdasarkan temu bual beliau bersama majalah Euromoney. Secara berasingan, kami ajukan 10 soalan yang perlu dijawab dan bukannya semata-mata membuat penafian umum.

Siri skandal memalukan syarikat pelaburan strategik negara 1MDB menarik ramai tokoh-tokoh berprofil tinggi daripada pertubuhan di negara ini.

Apatah lagi taikun Low Taek Jho, hartawan yang berpangkalan di Hong Kong.- SAMBUNG LAGI  SINI

14 April 2015

ISU 1MDB " ORANG UMNO PAKAR PUTAR BELIT" KATA JHO LOW

Umno bergasak dengan Jho Low pula


Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mendesak pihak berkuasa menyiasat ahli perniagaan Jho Low, yang baru-baru ini memberitahu majalah perniagaan Euromoney bahawa “orang-orang Umno pakar putar belit”.

Menulis di Twitter, Khairy berkata Pemuda Umno menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mahu siasatan dibuat terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Low.



Tweet itu turut memaparkan muka depan The Edge Financial Daily hari ini, yang memetik Low membuat kenyataan sama.

Wawancara itu dijalankan olehEuromoney untuk keluaran April.

Low memberitahu Euromoney, walaupun 1MDB mendapatkan nasihatnya dalam hal tertentu, beliau tidak mendapat manfaat dan tiada peranan langsung dalam syarikat itu.

Kata-katanya, satu-satunya kaitannya apabila beliau membantu menubuhkan Terengganu Investment Authority (TIA) – sebelum berupah kepada 1MDB.

Low berkata beliau turut menjadi sasaran dalam cubaan mengubah perhatian daripada keputusan teruk dibuat syarikat itu.

“Saya sangat kecewa... Saya tak pernah hadapi serangan sebegini daripada segenap penjuru.

“Ini gila, dan orang Umno ini pakar putar belit, mereka tahu semua ini mengarut,” katanya.

 
Laporan Malaysiakini

13 April 2015

ANGGOTA POLIS KENA RAGUT PISTOL HILANG


Pistol Hilang Anggota Polis Kena Ragut



Sibu – Misi sekumpulan anggota polis menyertai operasi bersepadu tertangguh seketika apabila seorang daripada mereka kehilangan sepucuk pistol berserta 10 peluru selepas beg sandangnya diragut lelaki tidak dikenali berhampiran sebuah hotel di Jalan Tan Sri di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 12.30 tengah malam ketika anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Temudok, Sri Aman itu mahu ke hotel penginapan sebaik keluar makan bersama rakannya sebelum didatangi seorang lelaki berbaju hitam lalu merentap beg sandang miliknya.

Sumber berkata, sebelum kejadian, anggota terbabit bersama 11 anggota lain dalam perjalanan menyertai operasi di Kapit sebelum singgah di bandar itu untuk bermalam.

Menurutnya, kumpulan berkenaan bertolak dari Sri Aman pada jam 11.30 pagi selepas menempuh perjalanan lima jam dan sepatutnya bergerak ke Kapit menaiki bot ekspres pada keesokan hari.

“Pada malam kejadian, anggota terbabit keluar bersama rakan sebelum bergerak pulang ke hotel. Sebaik tiba di hotel, rakannya naik ke bilik terlebih dulu manakala anggota berkenaan berbual dengan isteri menerusi telefon.

“Sebaik selesai berbual, anggota itu berjalan menuju ke bilik penginapan dan ketika menaiki tangga hotel, seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba merentap beg sandang miliknya sebelum melarikan diri menaiki Proton Wira biru muda,” katanya.

Katanya, selain pistol dan peluru, beg milik anggota berkenaan mengandungi waran, kad pengenalan, kad mesin juruwang automatik (ATM) dan lesen memandu.

“Anggota terbabit tidak dapat mengecam nombor pendaftaran kenderaan dinaiki suspek, sebaliknya hanya sempat melihat lelaki itu memakai baju hitam, berambut pendek dan badan agak kecil.

“Berikutan itu, polis yang menerima maklumat bergegas ke lokasi untuk siasatan. Polis akan meneliti rakaman litar tertutup (CCTV) dipasang di premis berdekatan untuk mengenal pasti suspek,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Mohd Kamal Kordi mengesahkan menerima laporan kes itu yang masih dalam siasatan. – myMetro Online

TERPANAS! ADUN UMNO KEDAH CABAR MUKRIZ LETAK JAWATAN SEBAGAI MB


Kedudukan Mukhriz Seperti 'Ditelan Mati Emak, Diluah Mati Bapak'


Mukhriz perlu menyatakan pendirian politiknya samada menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atau bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad/Foto:mD


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilihat berada dalam keadaan dilema apabila terpaksa membuat pertimbangan terhadap pendirian politiknya susulan kritikan bertubi-tubi bapanya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Penganalisis Politik, Universiti Selangor (UNISEL), Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin, Mukhriz perlu membuat beberapa pertimbangan untuk menyatakan pendiriannya sama ada menyokong pentadbiran Najib atau mendokong bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M).

Jelasnya, pilihan yang akan dibuat Mukhriz adalah bergantung kepada keadaan politik semasa, yang mana tidak akan menggugat kedudukannya sebagai Menteri Besar dan juga potensi kepimpinan dalam UMNO pada masa depan.

“Mukhriz berada dalam keadaan seperti ‘ditelan mati emak, diluah mati bapak’".

"Tun M tidak akan kehilangan apa-apa (tanpa sokongan Mukhriz) kerana beliau tidak perlu memikirkan sebarang jawatan.

"Cuma, bagi Tun M, kemungkinan adalah supaya memberi ruang kepada anaknya, Mukhriz untuk menjadi potensi kepada kepimpinan pada masa depan.

“Jadi, pilihan itu kepada Mukhriz. Mana batang yang lebih kukuh untuk bersandar, mana dahan yang lebih kukuh untuk berpaut.

"Kalaulah misal kata, dahan (kepimpinan) Najib itu sudah mulai rapuh, lebih baik beliau (Mukhriz) mengambil keputusan untuk mendokong bapanya atau sesiapa sahaja yang dirasakan berpotensi untuk menggantikan kedudukan Najib.

“Ataupun beliau merasakan serangan Tun M (kepada Najib) itu tidak akan berjaya membawa apa-apa perubahan, sudah tiba masanya untuk beliau menunjukkan kesetiaan beliau kepada pentadbiran Najib,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin yang meminta Mukhriz untuk melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar sekiranya masih enggan membuat sebarang pendirian mengenai sokongan terhadap Perdana Menteri.

Tambah Dr Shaharuddin, semua pertimbangan tersebut adalah bergantung kepada pendirian politik ADUN Ayer Hitam itu yang mana beliau akan terus dikritik oleh penyokong Najib sekiranya tidak menyuarakan sokongan kepada presiden UMNO itu.

“Mukhriz menggunakan beberapa alasan termasuklah membabitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih belum dinilai sebelum menyatakan sokongan kepada Najib dan ini merupakan satu strategi untuk memanjangkan isu tersebut.

“Tetapi sudah tentu apa yang berlaku kepada Mukhriz itu akan menerima kritikan kerana dalam politik Kedah tidak semua wakil rakyat atau ketua bahagian menyokong beliau dan saya kira, selepas ini kritikan bukan sahaja kepada Mukhriz tetapi berkemungkinan besar juga berlaku kpeada sesiapa sahaja yang tidak menyokong Najib.

“Jadi, pada saya, ini adalah satu konteks kemelut politik UMNO yang bukan sahaja beredar di peringkat atasan tetapi juga sudah bermula di akar umbi,” katanya.

Ujarnya, beliau menyifatkan desakan terhadap Mukhriz agar meletak jawatan sebagai serangan peribadi kerana individu tersebut tidak mampu menggugat kedudukan dan memberi komen balas kepada Tun M.

“Ini strategi ‘pukul anak, sindir menantu’ yang mana sering kita lihat dalam arena politik. Dimana serangan tersebut sebenarnya ingin mensasarkan kepada individu yang lebih berpengaruh tetapi tidak mampu.

“Jadi, mereka ‘pukul’ orang disekelingnya (Tun M). Misalnya, untuk bertindak kepada Tun M berkemungkinan agak sukar kerana kredibiliti dan penyokong Tun M yang masih ramai dalam kelompok ahli perniagaan, politik dan juga NGO.

“Maka, stateginya adalah mensasarkan kepada orang yang berdekatan dengan Tun M iaitu Mukhriz kerana beliau ada jawatan,” jelasnya.

12 April 2015

TERKINI : TUN M TERUS GASAK PM MALAYSIA


Tubuhkan panel bebas siasat 1MDB, kata Dr Mahathir



Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa kerajaan menubuhkan satu panel bebas bagi menyiasat 1Malaysia Development Berhad dan peranan serta kaitan Low Taek Jho dalam isu ini. 

Jelas tidak gembira dengan cara Datuk Seri Najib Razak memberi jawapan mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan perlu menubuhkan sebuah "suruhanjaya yang benar-benar bebas" menyiasat syarikat pelaburan negara yang dilanda beban hutang itu.



Bekas perdana menteri itu juga mahu tahu siapa Low Taek Jho, ahli perniagaan yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

“Siapa Jho Low ni? Tiba-tiba jadi sangat penting. Apa dia punya... dalam kerajaan pun, dia tak ada jawatan, dia bukan kakitangan kerajaan... tiba-tiba dia ada begitu banyak kuasa...

"Dan orang beritahu saya... tentulah saya tak dapat buktikannya... tetapi orang kata, dia bawa dirinya seperti dia kerajaan... Itu apa yang orang kata. Betul tak betul, saya tak tahulah" kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir juga menuntut penjelasan ke mana perginya wang 1MDB, menerusi lebih banyak klip video dimuat naik di blog bernama Din Turtle hari ini, merakamkan wawancaranya bersama beberapa blogger. – 12 April, 2015.


Najib mungkir janji, tak bina jambatan bengkok, kata Dr M




Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan Datuk Seri Najib Razak yang beliau kecewa kerana projek membina jambatan bengkok ke Singapura tidak diteruskan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 April, 2015.Dua hari selepas Datuk Seri Najib Razak muncul di kaca televisyen menjawab secara langsung kepada kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadapnya, bekas perdana menteri itu kembali lagi dengan serangannya.

Dalam video yang dimuat naik di blog "Din Turtle", Dr Mahathir menafikan dakwaan Najib yang beliau kecewa dengan perdana menteri kerana tidak membina jambatan bengkok ke Singapura.

Beliau juga mendakwa, Najib pada masa itu – ketika jambatan bengkok dari Johor Baru ke Singapura itu mula dicadangkan pada 2006 – menyokong projek itu.

Dr Mahathir mendakwa, apabila Najib mengambil alih tampuk pimpinan negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau akan meneruskan beberapa dasar yang mereka persetujui ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri dan Najib menteri Kabinet.

"Harapan saya, bila Pak Lah dah takda (letak jawatan), dia akan buatlah jambatan tu, dan lain-lain, kereta api, macam-macamlah.. Perkara yang kita bersetuju semasa saya jadi perdana menteri, akan diteruskan selepas saya letak jawatan, tapi Pak Lah tak buat.

"Jadi, Najib ada satu masa sebut kata, walau Singapura setuju atau tak setuju pun, kami nak buat... Lepas tu bila dia jadi perdana menteri, dia tak buat," kata Dr Mahathir dalam satu daripada klip video itu.

Dr Mahathir berkata, beliau sedikit kecewa kerana Najib tidak menunaikan janjinya berhubung projek itu.

"Saya tak seronok sikitlah, dia tak buat. Pasal dia janji, bukan untuk saya, bukan saya nak dapat kontrak. Awak boleh periksa, tengok saya dah dapat berapa banyak kontrak, saya bukannya nak kontrak.

"Tapi saya punya sikap, berlain sikit daripada orang lain. Saya tak nak saya kow tow kepada Singapura," katanya.

Dalam wawancara beliau dengan TV3 pada 9 April, Najib berkata, Dr Mahathir mahu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dimansuhkan dan projek "jambatan bengkok" yang menghubungkan Johor dan Singapura dibina semula.

Katanya, dua isu itu mungkin sebahagian sebabnya bekas perdana menteri itu tidak habis-habis mengkritiknya.

"Ada satu, dua perkara yang dia nak saya buat... Misalnya dia tak setuju BR1M, dia minta saya buat jambatan bengkok ganti Tambak Johor..." kata Najib ketika itu, sambil menambah yang beliau menghormati Mahathir sama seperti beliau menghormati orang lain.

Projek jambatan bengkok melibatkan meruntuhkan tambak di bahagian Malaysia dan menggantikannya dengan jambatan enam lorong yang akan bersambung dengan Singapura.

Reka bentuknya bengkok kerana Singapura tidak bersetuju merobohkan tambak di bahagian mereka supaya jambatan yang lurus merentasi Selat Tebrau boleh dibina.

Singapura menentang hebat cadangan merobohkan tambak dan membina jambatan bengkok itu.

Mengulas kenyataan Najib mengenai perkara itu dalam nada sinisnya seperti biasa, Dr Mahathir berkata: "Pasal 'bridge' (jambatan) ni, kalau tak dapat, saya mati lah."

Dr Mahathir menegaskan, Malaysia sepatutnya meneruskan projek membina jambatan itu dan mengecam Najib kerana hanya menurut kemahuan Singapura.

"Kalau Singapura tak nak buat, saya buat tempat saya, apa salahnya... Itu hak kedaulatan kita, dalam wilayah kita, perairan kita. Bahagian tambak itu kepunyaan kita...

"Jadi, bila saya dapati ada orang kow tow kepada Singapura, nak minta persetujuan Singapura untuk buat benda di dalam negara kita, mana kedaulatan kita? Mana kemerdekaan kita?"

Dalam satu klip video berasingan, perdana menteri ke-4 itu sekali lagi menegaskan tidak bersetuju dengan BR1M, mengatakan ia seperti memberi wang kepada mereka yang tidak layak menerimanya.

Katanya, beliau setuju jika bantuan kebajikan diberi kepada orang miskin dan fakir, tetapi bukan dalam bentuk bantuan wang tunai kepada mereka yang mempunyai pendapatan.

"Saya tak setuju dengan BR1M kerana saya tak suka suap orang dengan duit percuma. Anda bagi RM500 kepada orang yang bergaji RM4,000 sebulan untuk apa?

“Dan, 17,000 orang Cina di Ipoh menolaknya terang-terangan, ini menunjukkan ia bukan sesuatu yang kita patut buat."- Laporan TMI


MENTERI BN KANTOI PELAJAR-PELAJAR UiTM TAK PUAS HATI JAWAPAN MENGENAI GST



Pelajar universiti tak puas hati penerangan GST Ahmad Maslan



Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan bercakap dalam forum penerangan berkenaan GST kepada pelajar kepada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam, hari ini. Bagaimanapun, pelajar tidak berpuas hati dengan penerangan yang diberikan.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang hadir pada satu taklimat program cukai barang dan perkhidmatan (GST) hari ini, melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Datuk Ahmad Maslan yang disifatkan tidak menjawab persoalan mereka mengenai pelaksanaan cukai tersebut.

Tetapi sebaliknya kata mereka, timbalan menteri kewangan itu seperti menghentam pihak pembangkang pada sesi soal jawab bersama pelajar UiTM Shah Alam itu.

Pelajar Fakulti English Professional dan Communications, Maziah Mazli, 21, berpendapat, Ahmad tidak menjawab soalan yang dibangkitkan dan memberi penjelasan sebenar mengenai GST.

"Kerajaan mesti terangkan dulu (pada pelajar). Dia tak jawab soalan. Dia macam 'twist' (putar belit). Kami sebagai pelajar, kami nak tau apa sebenarnya GST. Kami tak dapat gambaran jelas apa itu GST.

"Sejak pelaksanaan GST, terasa sangat kesannya, terutamanya top-up (kredit telefon bimbit) dan makan. Kerajaan macam tak ambil kira semua aspek. Kami tidak ada kemudahan untuk masak.





Timbalan Menteri cadang pelajar UiTM masak sendiri jimat GST. Merapu! Bacalah dulu Kesalahan No.27. 


"Jadi, betul-betul bergantung kepada makanan yang disediakan universiti," katanya yang mengulas saranan Ahmad kepada mereka supaya selalu memasak dan tidak makan di luar untuk mengelakkan GST.


Muhammad Shamil berkata GST membebankan pelajar terutama mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah dan susah. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 11 April, 2015.

Seorang pelajar Fakulti Undang-undang, Muhammad Shamil, 20, pula mengatakan beliau tidak setuju dengan pelaksanaan GST dan jawapan Ahmad pula seperti menghentam pembangkang.

"Saya tengok menteri tadi lebih kepada nak hentam pembangkang daripada menjawab soalan. Masalah saya bukan GST, tapi pelaksanaan GST.

"Saya okey dia (Ahmad) datang ke sini, tapi dia tak menjawab soalan," katanya ketika ditemui selepas sesi itu yang diadakan di Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam pagi ini.

Muhammad mengatakan, GST membebankan pelajar terutama mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah dan susah.

Pada sesi soal jawab itu, Ahmad kerap menegaskan, sistem GST telus dan lebih baik berbanding sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diamalkan sebelum ini.

"Cukai perlu untuk tujuan ekonomi. Kalau bayar cukai, tolong pembangunan negara. Sistem SST yang dulu ada cukai atas cukai. Itu sebab kita buang SST itu, kerana ia membebankan.

"GST 6% tidak ada cukai atas cukai. Pengilang, pemborong dan peruncit boleh tuntut 6% tersebut kecuali pengguna," katanya.

Katanya, rakyat Malaysia kini menyedari yang setiap sen itu berguna apabila mereka mula menyimpan resit setelah membuat pembelian barang sejak GST dilaksanakan 1 April lalu.

Salah seorang pelajar bertanya kepadanya, mengapa cukai tersebut dilaksanakan sedangkan ekonomi yang sedia ada tidak stabil dan ramai berpendapat ia membebankan.

Ahmad bagaimanapun menyelar kenyataan pelajar tersebut, mengatakan sistem SST yang membebankan dan bukannya GST, dan terus menyelitkan topik yang tiada mengena dengan soalan yang diajukan.

"Yang membebankan ialah SST, bukan GST. Ekonomi Malaysia sekarang stabil, bukan negatif. Pertumbuhan 4.5% hingga 5.5%, maksudnya bagus. Salah peniaga yang tidak beretika dah lama menaikkan harga barang.

"Seperti juga PAS yang cerita pasal hudud 1990, tapi DAP tak pernah nak faham-faham sejak 25 tahun, apa itu hudud.

"Macam, ada juga yang bila dengar Barisan Nasional (BN) terus 'switch off' (tak mahu dengar)," katanya yang mengibaratkan peniaga yang menaikkan harga itu seperti sengaja enggan memahami konsep GST.

Pada masa sama, beliau juga bertubi-tubi diajukan soalan yang “pedas” daripada pelajar yang salah seorangnya bertanya saranan kerajaan kepada rakyat supaya berjimat, sedangkan kerajaan tidak berbuat sedemikian, terutamanya isu membabitkan pembelian jet peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Mengulas perkara itu, Ahmad berkata pembelian itu dibuat kerana jet kerajaan yang ada sering rosak dan kos membaikinya lebih mahal daripada kos pembelian jet baharu.

"Jet kerajaan itu kerap kali rosak. Kos penyenggaraan untuk baiki lebih tinggi. Jadi, beli (jet) baru untuk Agung, Sultan dan Najib. Bukan jet peribadinya (Najib)," katanya sambil memaklumkan yang harga pesawat MH370 ialah RM660 juta sementara harga jet baru itu RM400 juta.

Beliau juga menjelaskan, kerajaan menyokong GST kerana terdapat 169 negara melaksanakannya.

"Kerajaan buat apa yang baik dan betul. SST banyak kelemahan. Ada 169 negara yang melaksanakan (GST), sebab itu saya sokong," katanya. – 11 April, 2015. ~TMI