16 Mac 2015

PEKERJA MAS AKAN BERPIKET SEMASA BERLANGSUNGNYA LIMA?

Selepas ugut piket, kesatuan anak kapal MAS gesa campur tangan kerajaan


Nufam menggesa kerajaan untuk masuk campur supaya pekerja tidak menjadi mangsa kepada kepimpinan yang tidak bertanggungjawab oleh MAS dan Khazanah. – Gambar Reuters, 16 Mac, 2015.Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) hari ini menggesa kerajaan campur tangan dalam kemelut dihadapi mereka dengan Malaysia Airlines (MAS) dan Khazanah Nasional, atau mereka akan meneruskan rancangan untuk berpiket.

Setiausaha agungnya, Mohd Akram Bin Osman mendakwa mereka mendapat sokongan penuh persatuan krew yang lain, ia selepas rancangan mereka untuk berpiket seperti dilaporkan The Edge Financial Daily hari ini.

"Ia sangat menggalakkan apabila kesatuan lain juga tampil memberi sokongan terhadap rancangan piket Nufam di mana kami gesa kerajaan supaya membuat siasatan penuh ke atas kerugian MAS sebelum mereka memulakan penamatan khidmat pekerja MAS," kata Mohd Akram dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Akram berkata kerajaan perlu masuk campur bagi mengelak pekerja daripada menjadi mangsa kepada kepimpinan tidak bertanggungjawab MAS dan Khazanah.

"Kami meminta kerajaan masuk campur tangan bagi mengelakkan pekerja daripada menjadi mangsa di bawah kepimpinan korporat tidak bertanggungjawab MAS dan Khazanah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan hari ini memetik Nufam sudah menghantar notis untuk berpiket kepada kerajaan bagi membantah rancangan Khazanah untuk membuang 6,000 staf sebagai sebahagian salah satu langkah penstrukturan semula untuk menyelamatkan syarikat penerbangan negara yang rugi tersebut.

Dalam pada itu, Akram juga menyifatkan langkah untuk membuang pekerja MAS tersebut sebagai melanggar akta buruh antarabangsa.

"Penamatan khidmat serta-merta pekerja MAS dianggap sebagai melanggar piawaian buruh antarabangsa memandangkan tiada sebarang pengisytiharan terbuka MAS sepenuhnya muflis oleh Khazanah.

"MAS hanya dipindahkan aset kepada NewCo yang diwujudkan untuk menghapuskan sebarang bentuk liabiliti melibatkan pekerja yang tidak bersalah. Kesatuan menggesa kerajaan supaya menimbang semua pandangan disuarakan Nufam, MTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia) dan ITF UK (Kesatuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa) ke atas MAS dan Khazanah," katanya.

Mohd Akram juga menggesa supaya pekerja MAS tidak menandatangani sebarang surat penamatan kerja yang dijangka akan dihantar dalam tempoh terdekat ini.

Nufam belum memutuskan tarikh piket tersebut akan diadakan, tetapi difahamkan berkemungkinan bakal diadakan pada 17 Mac dan 21, semasa berlangsungnya pameran Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (Lima) di Langkawi. ~tmi

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...