18 Ogos 2014

BERITA LAGI PANAS DARI ISU MB : NAJIB PEROSAK PERHUBUNGAN KAUM, ROSAKAN EKONOMI DAN KEWANGAN NEGARA - TUN M


Dr Mahathir tarik balik sokongan kepada Najib



Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik sokongannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana tidak ambil iktibar kekalahan dalam PRU13. 

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hari ini beliau terpaksa menarik balik sokongan dan terpaksa mengkritik kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana prestasinya lebih buruk daripada penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata, beliau terpaksa berbuat demikian kerana Najib tidak mengambil iktibar daripada prestasi buruknya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

"Saya tidak ada pilihan selain menarik balik sokongan saya. Ini pun tidak berkesan. Oleh itu terpaksalah saya menegur," kata Dr Mahathir melalui tulisan di blognya, www.chedet.cc.


"Harapan saya Najib akan mengambil ikhtibar daripada prestasinya yang buruk dalam PRU13. Malangnya sehingga kini tidak ternampak apa-apa perubahan daripada segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya, (yang juga pendapat ramai yang datang bertemu saya) secara langsung kepada Najib," katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak menyangka prestasi perdana menteri dalam PRU13 akan menjadi lebih buruk daripada Abdullah dalam PRU12 pada 2008.

"Pilihan saya bagi mengganti Abdullah ialah Najib. Setelah beberapa lama dilihat dasar dan tindakan Najib tidak lebih berkesan daripada Abdullah.

"Sesungguhnya banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan kerajaan pimpinan Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara," katanya menerusi blog popularnya itu.


Dr Mahathir berkata, kelemahan pentadbiran Najib disebabkan penyokong kerajaan tidak pernah menegur pemimpin.

"Jikalau tiada siapa yang sanggup menegur, biarlah saya menegur. Saya pernah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman, dipulau Datuk Seri Abdullah dan difitnah ramai. Jika kerana menegur saya akan didera, terpaksalah saya terima.

"Bukanlah saya tidak sayang pemimpin. Tetapi saya lebih sayang bangsa dan negara saya," katanya.

Beliau berkata, kesalahan pertama Najib adalah apabila beliau melayan tuntutan musuh.

"ISA dan undang-undang buang daerah dimansuh. Tindakan ini tidak sedikit pun mengurangkan tentangan parti lawan.

"Sebaliknya jenayah bertambah dengan banyaknya kerana pembebasan ketua-ketua geng," katanya.

Dr Mahathir juga tidak berpuas hati dengan sikap pentadbiran Najib yang dilihat terlalu tunduk kepada negara-negara jiran.

"Wang kerajaan diguna untuk mempengaruhi sokongan rakyat apabila pilihan raya umum diadakan.

"Ini menjadikan rakyat terlalu bergantung kepada kerajaan untuk segala-galanya," katanya.

Dalam PRU13 lalu, pencapaian Najib lebih buruk daripada Abdullah pada PRU12 apabila hanya berjaya mendapat 133 kerusi Parlimen berbanding 140 pada 2008. – 18 Ogos, 2014. ~TMI

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...