20 Jun 2009

BANGUNLAH ANAK MUDAKU!!!!!

Berita Buruk Buat Pemuda Umno

Oleh HASMI bin HASHIM

Belum ada sebuah parti politik yang begini progresif dalam menentukan usia muda untuk pimpinan sayap ‘kanannya’. Keadilan muncul sebagai parti pertama yang meletakkan syarat umur di bawah 35 tahun di negara ini–berbanding misalnya dengan Umno yang tidak mempunyai syarat sedemikian.

Meskipun Umno meletakkan syarat ahli pemuda di bawah 40 tahun, tapi usia ketua pemuda Umno boleh melewati tahap umur tersebut. Amalan Umno yang sudah bersarang ini, jelas menyekat bakat muda untuk menjadi pemimpin, memegang amanah. Mudah kata, akhirnya yang memimpin anak muda, adalah orang tua… bukan di kalangan orang muda itu sendiri.
Kita lihat, bagaimana misalnya pertubuhan yang mengatasnamai generasi muda dipimpin orang-orang tua. Belia 4B dipandangan mata orang muda adalah antara pertubuhan yang paling hipokrit–menjadikan anak-anak muda hanya sebagai sumber sokongan kepada pemimpin tua, di mana pemimpin itu pula kemudiaannya menjadikan pertubuhan itu sebagai tunggangan untuk mencapai cita-cita politik sempit mereka.

Begitu juga banyak pertubuhan lain, yang diam-diam tidak lebih hanya menjadi proksi Umno di tengah-tengah ‘pasaran’ generasi muda, termasuklah pertubuhan mahasiswa yang sama sekali jauh daripada semangat kemahasiswaan dan idealisme orang muda. Paling menjelekkan apabila calon ketua pemuda Umno (yang kini menjadi ketua pemuda) memakai bola sepak sebagai sukan popular untuk mempopularkan diri–sekonyol-konyol beliau dipilih sebagai naib presiden FAM.
Apakah mutu dan pencapaian bola sepak negara meningkat? Tidak! Bahkan semakin dan semakin buruk! Apakah beliau peduli? Juga tidak! Hanya buat diam dan langsung tidak bertanggungjawab untuk, misalnya merasa malu dan melepas jawatan–disamping beliau sudah berjaya memenuhi serakah politik menduduki kerusi ketua pemuda.
Citarasa zaman dan aroma perubahan, pasti lebih mudah dapat dirasai dan dihidu oleh orang muda–ia laksana fitrah alam. Bukan oleh orang tua, di mana rata-rata sudah memasuki “zon selesa”–yang ‘pancainderanya’ juga sudah tidak sesegar anak-anak muda.
Mengungkap sejarah pra-kemerdekaan, kita pasti insaf menyaksikan bagaimana perkumpulan anak-anak muda juga menyumbang kesedaran hebat kepada masyarakat agar bangkit menentang penjajahan, sama ada di Malaysia (seperti Kesatuan Melayu Muda: KMM) mahupun di Indonesia seperti Angkatan 45.
Generasi muda ini sama-sama berjuang jauh daripada matlamat memperolehi kuasa politik untuk diri sendiri, atau mengekalkan kedudukan politik pribadi yang sementara. Mereka berjuangan tak lain hanya untuk membebaskan bangsa daripada kongkongan dan penjajahan, memerdekakan rakyat sehingga memungkinkan wujudnya keadilan.
Oleh itu, hampir mustahil, ketua yang tua-tua itu, yang masih memimpin generasi muda dapat mengenalpasti, dapat mengetahui akan angin perubahan di sekeliling mereka. Hampir mustahil, misalnya lagu Dewa atau musik independen bakal menjadi kegilaan ramai hari ini dapat terdengar dek telinga ‘dinaso’ seperti Ali Rustam yang masih tidak mahu melepaskan jawatan tertinggi Belia 4B.
Akhirnya, pertubuhan mahupun sayap parti politik itu juga berwajah tua dan melelahkan. Sedikit demi sedikit, anak-anak muda akan menjauhkan diri daripada wadah yang sebegitu. Lahirlah istilah seperti “belia baju batik” yang jadi ejek-ejek kepada pimpinan tua yang tak sedar diuntung selama ini…
Hanya dengan ketetapan undang-undang mandatori seperti yang diluluskan dalam Kongres Khas dan bakal dilaksanakan oleh Parti Keadilan ke atas sayap Angkatan Muda-nya, barulah pimpinan tua (yang menguasai sumber seperti rangkaian hubungan dan sedikit-sebanyak dana) dapat ‘disingkirkan’. Maknanya, mereka yang berusia lebih 35 tahun perlu berpencak-silat di peringkat cabang atau pusat.
Memang ada sebahagian pandangan menyatakan bahawa had umur 35 itu juga masih terlalu ‘tua’. Ada yang mahu mengurangkannya lagi menjadi di bawah 30, atau yang lebih ekstrem, di bawah 25. Saya tidak fikir perubahan yang begitu mendadak dapat dilakukan, dan paras 35 itu sangat wajar berbanding parti-parti dan pertubuhan lain yang masih menjadikan ukuran yang digunapakai oleh Umno sebagai rujukan.
Berita baik ini dan kesempatan yang dimiliki oleh anggota-anggota AMK wajar digunakan untuk cepat belajar, mempersiap diri sebagai pemimpin. “Mempersiap diri” merujuk dalam semua aspek karena kita juga tidak mahu perangai sepertimana lazimnya pimpinan tua yang memimpin anak muda sebelum itu dianggap sebagai model kepimpinan terbaik.
Anak-anak muda yang bakal memimpin AMK kelak harus sahaja mengekalkan sifat keremajaan dan kemudaan mereka–cergas, bijak, berani, jujur meskipun kadangkala naif sebagaimana lazimnya sifat anak muda.
Itu tidak mengapa. Tentunya anak-anak muda yang menganggotai AMK tidak akan dibiarkan terkapai-kapai seolah-olah terpisah dengan parti induk. AMK adalah sayap parti dan bukannya sebuah badan yang berasingan. Oleh itu, kekurangan anak-anak muda di dalam AMK wajar dianggap sebagai lumrah dan resam untuk terus bertatih dan belajar.
Impak besar kepada parti, perjuangan bahkan bangsa ini hanya akan dapat terasa dalam tempoh, barangkali sedekad selepas perubahan berani ini dilaksanakan oleh Keadilan. Kesan-kesan segera juga akan dapat dilihat menjelang pemilihan parti hujung tahun ini, sebelum kesan kedua di dalam Pilihanraya Umum kelak, inshaalah.
Ketetapan umur keanggotaan dan pimpinan di bawah 35 tahun, sangat-sangat menjadi buah pukul kepada parti pemerintah, khususnya Umno yang masa terkial-kial membuat perubahan kosmetik semata. Ini adalah berita buruk, lebih-lebih lagi kepada pemuda Umno.
Ketua Pemuda Umno sekalipun nampaknya nanti akan dikeroyok dan dikerumi oleh jutaan “laskar muda” Keadilan. Pemuda Umno-BN pada mata laskar ini hanya seperti raksaksa yang besar dan gemuk sosoknya–dan karena ia besar dan gemuk, meskipun nampak ‘menakutkan’, tetapi ia lebih berat dan payah bergerak. Kakinya akan dijerat dan diikat. Ia akan tersembam ke bumi, disentap laskar-laskar yang lebih cerdas dan lincah gerak-gerinya

18 Jun 2009

MENGAPA KITA HARUS UNDUR KEBELAKANG???

Jentera PAS retak di Manek Urai?

Jimadie Shah Othman | Jun 18, 09 9:36am
kemaskini 11.35am Tidak cukup muktamar dua minggu lalu menjadi medan pertelagahan sesama pemimpin PAS berhubung kerajaan perpaduan, isu itu bakal membawa retak pula pada jentera pilihanraya kecil DUN Manek Urai.

Kini sudah tersebar ura-ura bahawa Dewan Pemuda PAS di beberapa negeri berhasrat menarik diri daripada membantu kempen sebagai tanda bantahan terhadap PAS Kelantan yang didakwa membesar-besarkan isu kerajaan perpaduan.

Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini semalam, Dewan Pemuda PAS di enam negeri termasuk Terengganu – negeri presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengutarakan idea tersebut – akan memboikot kempen di Manek Urai.

Idea tersebut bagaimanapun ditentang oleh keras oleh Mursyidul Am PAS, yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat serta bekas naib presiden Datuk Husam Musa, exco kanan kerajaan negeri.

Dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS di muktamar ke-55, Husam dan seorang lagi naib presiden yang lantang menolak cadangan kerajaan perpaduan, Mohamad Sabu, tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden, yang berjaya dikekalkan oleh Nasharuddin Mat Isa.

Kerajaan perpaduan dan kekalahan Husam dikatakan tidak disenangi akar umbi PAS di Kelantan yang berdiri teguh di belakang Nik Aziz berhubung isu tersebut.

Malah, Ahad lalu, Kelab Penyokong PAS (KPP) Kelantan meminta pemimpin PAS yang menyokong cadangan pembentukan kerajaan perpaduan supaya tidak menyertai kempen pilihanraya kecil DUN tersebut, antara 6 hingga 14 Julai.

'Buang masa'

Seorang pemimpin KPP Yap Kok Seng dilaporkan berkata, kehadiran mereka hanya akan "mengelirukan pengundi" dan penyokong PAS di kawasan itu berhubung isu berkenaan.

Susulan perkembangan tersebut, sumber-sumber itu berkata, ahli-ahli Dewan Pemuda PAS merasakan kehadiran mereka di Manek Urai hanya "membuang masa dan tidak memberikan apa-apa kesan bagi mengekalkan kerusi tersebut".

"Kalau datang tidak boleh naik pentas berceramah, buat apa kita datang?" kata sumber-sumber itu lagi.

Sehingga kini, tambah mereka, PAS Kelantan belum berhubung dengan negeri-negeri mengenai persediaan menghadapi pilihanraya kecil itu walaupun ia akan berlangsung tidak lama lagi.

"Biasanya, sebulan awal (sebelum tarikh mengundi) kita dah tahu dah," tambah sumber-sumber.

Sementara itu, sumber PAS Kelantan pula memaklumkan, akar umbi PAS di negeri itu amat marah dengan Nasharuddin yang terus-menerus berbeza pandangan dengan Nik Aziz berhubung isu kontroversi itu.

"Jadi, kalau dia (mereka) tidak boikot kita pun, kita yang akan boikot dia di sini.

"Dia bolehlah datang, tetapi saya rasa dia tak boleh duduk dalam majlis yang ada Tok Guru," kata sumber itu lagi.

Tidak boleh berkempen

Semalam, Nik Aziz menggesa Nasharudin meninggalkan parti itu dan sekali gus meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Bachok jika masih ingin kerajaan perpaduan dengan Umno.

Menteri besar itu juga dilaporkan berkata, isu kerajaan perpaduan bukannya datang daripada PAS tetapi satu lontaran idea peribadi.

"Kalau benar Nasharuddin nak setuju (dengan kerajaan perpaduan) lebih baik dia masuk Umno, letak jawatan timbalan (presiden PAS) dan di Bachok," Nik Aziz dipetik berkata.

Sementara itu, sumber-sumber lain pula memberitahu, mesyuarat jentera pilihanraya Kelantan telah memutuskan "pemimpin-pemimpin tertentu dalam PAS" yang tidak boleh berkempen dan berceramah di Manek Urai.

Bagaimanapun, pengarah pilihanraya Dewan Pemuda PAS Pusat, Firdaus Jaafar menafikan khabar angin tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, kesemua 14 Dewan Pemuda PAS negeri telah diberikan tugas memantau DUN Manek Urai berdasarkan sembilan daerah mengundi yang dibahagi-bahagikan mengikut negeri.

"Tidak timbul perkara itu (boikot). Kalau benar, kenapa Kelantan yang keluarkan senarai (pembahagian kawasan kempen) ini,” katanya ketika dihubungi.

Pemuda Terengganu nafi

Dalam perkembangan berkaitan, Dewan Pemuda PAS Terengganu menafikan memboikot jentera pilihanraya di DUN tersebut.

Menghubungi Malaysiakini hari ini, ketuanya Mohd Nor Hamzah berkata PAS negeri termasuk dewan tersebut akan menghantar antara 100 hingga 200 petugas tetap di satu daripada sembilan daerah mengundi seperti telah diputuskan.

Tambahnya, setakat pengetahuannya, jentera Pemuda PAS negeri-negeri lain tidak akan memulaukan pilihanraya kecil Manek Urai.

17 Jun 2009

INI DAH KES BERAT!!!

Ini menyusahkan orang…biar dia masuk Umno seorang – TGNA

Saya banyak terima panggilan dan orang datang jumpa saya sehingga ada yang sebak (tidak setuju) dengan isu itu. Dia masuk Umno senang, lebih baik..daripada duduk dalam Pas, nak bertenggek dalam Pas buat apa…tiada moral kita panggil - TGNA

Saya banyak terima panggilan dan orang datang jumpa saya sehingga ada yang sebak (tidak setuju) dengan isu itu. Dia masuk Umno senang, lebih baik..daripada duduk dalam Pas, nak bertenggek dalam Pas buat apa…tiada moral kita panggil - TGNA

LAPORAN LENGKAP, NIK AZIZ MINTA NASHARUDDIN MASUK UMNO

KOTA BHARU –Mursyidul Am Pas,Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyarankan Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa supaya menyertai UMNO sebagai reaksi terhadap Nasharuddin yang terus “perjuangkan” Kerajaan Perpaduan (UG).

Beliau berkata, tiada makna lagi kalau Nashanruddin terus berada dalam Pas jika beliau terus mendokong hasrat untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO yang ternyata pernah “merosakkan” perpaduan Pas sebelum ini.

Kenyataan mengejut Nik Aziz itu turut menyifatkan nasharuddin sebagai membuat sampah yang mengotorkan Pas dan menegaskan bahawa UG adalah boneka UMNO.

“Saya ulangi lagi ini (kerajaan perpaduan) kerja boneka Umno, jika benar Nasharuddin setuju terus terang saya sebut lebih baik dia masuk Umno dan letak jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok. Apa buat sampah…ini menyusahkan orang…biar dia masuk Umno seorang.

“Saya banyak terima panggilan dan orang datang jumpa saya sehingga ada yang sebak (tidak setuju) dengan isu itu. Dia masuk Umno senang, lebih baik..daripada duduk dalam Pas, nak bertenggek dalam Pas buat apa…tiada moral kita panggil,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Mingguan di SUK, hari ini.

Sambil menyifatkan idea UG bukan dari Pas, sebaliknya ia merupakan pendapat individu tertentu sahaja.

“Kerajaan Perpaduan ni tidak pernah ada dalam agenda parti Pas selama ini dan ia juga tidak termasuk dalam perjuangan Pakatan Rakyat’”

“Jadi PR tidak tahu…Pas tidak tahu. Runding kerjasamapun Pas tidak bincang dan PR tidak bincang. Isu kerajaan perpaduan sebenarnya adalah boneka Umno,”katanya.

Nik Aziz berkata, jika diwujudkan UG bermakna pemimpin DAP atau Pas juga boleh diangkat jadi Perdana menteri.

katanya, UMNO sekarang sedang berpesta berikutan Pas sudah masuk perangkap “Kalau wujud kerajaan perpaduan DAP atau Pas juga boleh jadi Perdana Menteri. Ini kerana Pas sekarang bercelaru, manakala Pas dan PR juga bercelaru.

16 Jun 2009

PAS jangan terlalu Overconfident

oleh: zaidibrahim

Semasa saya meninggalkan dewan Stadium Melawati di mana Muktamar PAS ke-55 diadakan, seorang pemberita akhbar bertanya apakah pandangan saya tentang ucapan Dasar Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Hj Hadi Awang. Sebelum sempat saya menjawab, dia juga cepat-cepat menambah satu lagi soalan iaitu apakah perancangan besar yang PAS akan laksanakan itu akan menimbulkan kebimbangan dan keresahan dua parti lain dalam Pakatan, PKR dan DAP.

Inilah kali pertama saya hadir di Muktamar Tahunan PAS. Saya berasa kagum dengan persiapan, perjalanan dan sambutan penuh semangat oleh para perwakilan yang mengikuti ucapan Presiden. Pujian ini bukanlah kerana Pengerusi Tetap bermurah hati memperkenalkan saya, dan kerana itu saya diberi sambutan meriah daripada para Perwakilan. Saya tertarik kerana kalau dulu PAS hanya memberi tumpuan yang agak sempit dan khusus dalam Ucapan Dasar Presiden, tetapi kali ini PAS menunjuk minat dan kemampuan yang menjangkau isu dan perspektif yang lebih luas dan menunjukkan keyakinan yang tinggi tentang peranannya sebagai sebuah parti besar dalam politik negara. Hadi telah menunjukkan perubahan bukan sahaja dari segi kupasan terhadap dasar dan pendekatan PAS, malah dari sudut peribadinya pun telah menampakkan kesanggupan serta komitmen dalam membicarakan isu yang rumit dan mencabar seperti soal ekonomi, hak asasi rakyat dan hubungan antara kaum. Ucapan beliau selama 1 jam 40 minit itu jauh bezanya dengan muktamar yang terdahulu.

Tema Muktamar ialah Islam Memimpin Perubahan. Ada pemerhati yang cepat-cepat mencelah tema itu sebagai Islam (PAS) memimpin Pakatan. Dan yang ketara selain daripada slogan itu ialah pengumuman perancangan PAS untuk membina Pusat PAS di Putrajaya, memperluaskan pengaruhnya di Sabah dan Sarawak dengan lebih bersungguh-sungguh, dan penerimaan Kelab Penyokong PAS di kalangan bukan Islam sebagai salah satu sayap parti yang rasmi. Dan sebaik sahaja selesai ucapan dasar; semasa mengadakan sidang akhbar hari itu Hadi terus mempertahankan pependiriannnya supaya PAS meneruskan usaha menyokong konsep Kerajaan Perpaduan (Unity Government), iaitu berkerjasama dengan Barisan NasionalUMNO. Sedangkan dia tahu perasaan Tok Guru Nik Aziz dan ramai lagi pemimpin PAS dalam hal ini. yang kelihatan tidak begitu bersetuju dengan saranan Dato’ Seri Hj Hadi. Namun tanpa gentar, ia tetap diluahkan oleh beliau dengan penuh yakin. Sekaligus mempamerkan ketegasan dan keyakinannya, tetapi bagi saya, Hadi telah menjadi terlalu yakin (Overconfident).

Inilah yang menjadi kebimbangan saya. Hari ini parti-parti dalam Pakatan, sama ada PAS, DAP dan Keadilan semuanya menunjukkan keyakinan mereka yang tinggi untuk mencapai kejayaan seterusnya, khususnya dalam piliharaya umum yang akan datang. Mereka semua ada national aspirations, atau cita-cita untuk menjadi parti nasional yang terbesar dan berpengaruh dan sekaligus bakal membentuk Kerajaan. Tidak salah kita ada cita-cita besar kerana apabila parti komponen itu kuat, sepatutnya gagasan dan Pakatan parti-parti tersebut sepatutnya akan menjadi lebih kuat. Tetapi mereka juga perlu ingat kalau Pakatan atau kerjasama yang ada sekarang ini sebenarnya rapuh, maka mereka tidak akan mampu mengatasi BN, walaupun tinggi melangit cita-cita mereka. Kekuatan mereka yang sebenar ialah kekuatan yang timbul daripada usaha dan kerjasamna yang ikhlas daripada ketiga-tiga parti tersebut. Tidak ada parti dalam Pakatan termasok PAS sekalipun yang boleh mendabek dada dan berkata mereka kuat walaupun bersendirian. Mungkin mereka berasa kuat kerana UMNO sudi memberi “back up” yang kuat. Kalaulah ini politik PAS yang baru maka itu bererti pemimpin mereka tidak memahami perjuangan PAS Burhanuddin Helmi Zulkifli Mohamad dan Nik Aziz.

Bilakah agaknya Pakatan akan memberi tumpuan khusus untuk berusaha mencari dan memupuk dasar bersama dalam hal-hal yang kontroversi dan sensitif. Soal pokok pentadbiran yang baik atau good governance dan kaedah melaksanakannya mesti dipersetujui lebih awal kerana prinsip atau dasar yang kita laungkan sebenarnya amat berbeza apabila dilaksanakan. Apakah pendirian parti-parti dalam Pakatan dalam soal-soal seperti Perlembagaan, bahasa dan pendidikan, dasar ekonomi yang mempraktikan keutamaan atau Awlawiyat, semua ini nampaknya memang mudah dikatakan tetapi sukar dalam mencari atau mendapatkan persetujuan. Bagaimanakah kita mahu laksanakan “musyarakah bil gharam wal ghanam” apabila sebahagian besar ekonomi telahpun diswastakan kepada pihak yang kuat dan terpengaruh. Persoalan rumit juga akan pasti timbul dalam usaha “mengakhlakkan” aktiviti hiburan dan sosial tetapi dalam masa yang sama menghormati hak kebebasan individu dan menerima kepelbagaian masyarakat majmuk. Ini semua memerlukan perancangan yang rapi dan yang lebih penting perbincangan di peringkat kepimpinan tertinggi Pakatan yang seterusnya dipersetujui dan diterima oleh semua pihak sebagai dasar untuk dilaksanakan. Sekiranya ini boleh dibuat, maka pastilah akan kelihatan parti-parti dalam Pakatan akan bersuara dalam nada yang sama dalam apa juga persoalan Negara dan masyarakat, dan tidak lagi dilihat bercanggah antara satu dengan lain.

Dengan lain perkataan, dalam usaha parti-parti politik pembangkang mencari kekuatan untok memerintah, janganlah ulangi apa yang berlaku dalam BN. Budaya, nilai dan perjuangan politik BN ditentukan hanya oleh sebuah parti. Sebab itu mereka menghadapi masalah mencari formula perubahan yang mereka laung-laungkan. Untok berubah kita perlu mendengar dan menerima pandangan yang berbeza dari perspektif yang luas terutama daripada rakan kongsi kita. Tetapi hari ini dalam BN mustahil perubahan ini dapat dilaksanakan kerana apabila setiap kali ada usaha untuk menerima pandangan dari kumpulan yang dahulunya hanya mengangguk, tindakan ini akan dianggap mengalah oleh kumpulan yang lain. Sebab itu kita sentiasa mendengar jeritan “jangan tunduk” daripada UMNO setiap kali ada isu yang agak rumit yang cuba ditimbulkan oleh sesetengah parti komponen dalam BN. Gagasan Pakatan perlu bermula dengan pendekatan yang berbeza berbanding UMNO. Tidak perlu sesebuah parti itu menjadi “dominant”. Biarlah mereka bermula dengan keinsafan dan sikap bahawa ketiga-tiga parti dalam Pakatan itu sama-sama kuat, tetapi hakikatnya sama-sama memerlukan satu sama lain. Ingatlah pepatah Melayu, sebatang ranting mudah dipatahkan, tetapi seberkas ranting, sukar atau tidak boleh dipatahkan dengan mudah.

Mereka perlu mencari kekuatan dengan maufakat dan kerjasama, bukan dengan dengan sikap `aku lebih kuat daripada kamu’ dan mencari usaha mengatasi kemampuan parti lain. Mustahak sekali Pakatan dapat menyediakan satu Master Plan bagaimana Malaysia dapat diperintah dengan baik adil dan saksama. Biarlah buat pertama kalinya rakyat merasakan bahawa pemimpin mereka mendengar rintihan mereka dan pemimpin pula berusaha mencari jalan penyelesaian yang baik untuk semua rakyat dan semua kaum. Kekuatan bukan sahaja datang daripada kemenangan kita melawan atau mengatasi pesaing kita, ia juga menjelma apabila kita tahu dan menghargai erti dan kebaikan amalan muafakat yang sebenar.

Adun Gombak Setia: ‘Prasangka’ yang sukar dibuang

Oleh: Huzaifah Ahmad Yamani

Saya sebenarnya sudah naik malas menulis mengenai mana-mana kepimpinan dalam PAS, khususnya PAS Selangor. Dahulu, sering saya melontarkan idea bahawa Pesuruh Jaya PAS Selangor, yang kini dilantik semula, merupakan orang yang perlu diberi ‘peringatan.’ Ini kerana, beliau melakukan beberapa kesilapan atau kemungkaran, yang bagi standardnya seorang ketua adalah besar nisbahnya, jika dibandingkan seorang ahli PAS biasa.

Nah! Kini YB Adun Gombak Setia itu dilantik kembali oleh Presiden PAS menjadi Pesuruh Jaya PAS Selangor. Sukar saya menahan diri daripada memberikan sesuatu pandangan, justeru perlantikan ini pastinya tidak akan memberikan nilai tambah kepada PAS di Selangor khususnya dan PR di Selangor amnya.

YB Adun Gombak Setia, adalah manusia yang mula-mula sekali mencadangkan idea penubuhan Unity Government bersama Umno. Hal ini diakui sendiri oleh pimpinan PAS hatta YB Ahli Parlimen Shah Alam, bahawa idea itu dibentangkan lewat perjumpaan retreat PAS di Pulau Langkawi. Teruk YB Adun Gombak Setia kena belasah. Maka, itulah kesilapan PALING BESAR pernah dilakukannya…

Secara peribadi, sosok motivator berkaliber ini memang petah bicaranya; namun belum tentu tuntas tindakannya. Dengan perlantikan beliau sebagai Exco Agama Islam, Adat-istiadat dan Infrastruktur di negeri termaju di Malaysia, rasanya masih belum kelihatan dengan jelas apakah yang beliau sudah lakukan. Jika sekadar menukar AJK dan para nazir masjid…ah…itu, pak imam pencen di kampung Felda Gedangsa pun tahu melakukannya. Maksud saya, apa yang lebih aula yang sudah dilakukannya…selain daripada menghidupkan kembali nostalgia Forum Perdana di Masjid Negeri Shah Alam dengan beliau sendiri menjadi moderatornya?

Sebenarnya, PAS memerlukan tokoh yang lebih jauh wibawanya berbanding sosok YB Adun Gombak Setia ini. Apalah yang ada lagi padanya, jika janji-janjinya kepada kakitangan JAIS dan MAIS untuk melakukan siasatan kepada sesiapa sahaja, asalkan disertai dengan ‘Black and White Documents’ pun, akhirnya hilang dipuput angin dari Bukit Cerakah? Ingat, bagi seorang Islam, janji adalah wajib dikota. Memungkirinya adalah satu sifat keji, sifat nifak yang wajib dijauhi. Apatah lagi bagi seorang Pesuruh Jaya PAS – Parti ISLAM Se-Malaysia – juga EXCO AGAMA ISLAM – maka, mudarat memungkiri janji adalah jauh lebih besar kesannya!

Saat berlangsungnya Muktamar di Shah Alam…ada pihak memuji melangit. Namun, pelik bin ajaib, bagaimana Puncak Niaga milik seorang Tan Sri yang terkenal amat lantang menentang pengembalian air Selangor kepada kerajaan negeri – alih-alih menaja persidangan sebuah parti yang dia (Tan Sri) ‘tentang dan lawan sendiri’ dalam isu air. Apa ini? Main aci atau main galah panjang…seorang boleh terlepas, seorang boleh tertahan. Kenapa, saat Kongres Nasional Parti Ke Adilan Rakyat November 2008 dahulu, Puncak Niaga ini tidak pula menajanya?

Inilah bibit-bibit fitnah…yang WAJIB dijauhi oleh seorang pemimpin dari aliran motivator ini. Bahawa, bagi pemimpin nombor wahid sebuah HARAKAH ISLAM di Selangor, menjauhi fitnah adalah lebih aula daripada menjelaskannya kemudian hari. Misal kata, seorang imam mengajar seorang anak gadis manis membaca al-Quran di dalam bilik tertutup di masjid, adalah lebih baik dia hindari…kerana itulah punca fitnah terjadi.

Al-hasil, maka bersoraklah mereka yang berkenaan dengan perlantikan semula Adun Gombak Setia merangkap ahli motivator ini sebagai Pesuruh Jaya PAS bagi penggal berikutnya. Yang hairannya, tiadakah muka-muka lain? Yang hairannya, kenapa Tuan Presiden tidak pernah bertanya secara terus kepada Ketua-ketua Kawasan? Hanya mereka yang tahu jawapan…kerana mereka adalah pimpinan. Sekali lagi diulang: Hanya kerana mereka…adalah PIMPINAN